Anda mahu terbang tinggi hingga menggapai awan? Jalan yang terbaik adalah jalan yang dibina atas kehendak diri sendiri. Jalan itu berasaskan kepada cita-cita kita, impian, angan-angan, matlamat atau apa sahaja yang kita mahu mungkin sejak kecil lagi. Binalah ia dan jangan ia hancur kerana pengaruh orang lain.
Jalan yang kita lalui bukan jalan yang ditentukan oleh orang lain sama ada mereka ibu bapa kita, rakan, mentor, sahabat, rakan niaga, penulis, motivator, jurulatih atau sebagainya.
Mereka itu semua hanya berperanan untuk membimbing, berkongsi ilmu dan memberi cadangan kepada kita sahaja terhadap jalan yang kita pilih. Sebaliknya, segala keputusan bukan di tangan mereka. Jalan mana yang mahu kita lalui, ia adalah di dalam bidang kuasa kita.
Namun segalanya sedang ke arah kehancuran apabila kita mudah melutut kepada cadangan dan kata-kata orang lain tanpa menilai terlebih dahulu kepada kehendak jiwa kita. Apabila sampai di pertengahan jalan, kita mula menyesal kerana jalan itu dibina atas kehendak orang lain.
Binalah jalan sendiri. Jika kita gagal, kita puas hati dan tidak akan menyalahkan atau melibatkan pihak lain. Allah menyuruh kita berusaha dan kemudian Allah menyuruh kita bersabar jika menghadapi ujian. Ini bermaksud, jika usaha jalan yang dipilih itu gagal, penawar awalnya adalah kesabaran.
Beberapa perkara yang perlu diawasi dalam hidup ini:
- Setiap orang akan cuba mempengaruhi orang lain untuk kepentingan tertentu.
- Semua orang ada propaganda masing-masing sama ada dalam sedar atau tidak. Baik mereka ada udang di sebalik batu.
- Buat baik berpada-pada, baik jahat jangan sekali. Jangan mudah terpengaruh dengan kebaikan manusia. Ambil masa untuk ‘menilai’ hati budi mereka.
- Elakkan memuji manusia berlebih-lebihan. Kelak kita akan kecewa jika orang yang dipuji itu melukai kita walaupun hanya sekali.
- Jangan mudah berkata “YA” terhadap sebarang tawaran dan idea orang lain. Berikan kita masa untuk menilai baik buruk, pro dan kontra. UTAMAKAN jalan dan usaha kita dahulu. Susah senang kita, makan minum kita, bukan mereka yang tanggung jika sesuatu berlaku. Pentingkan diri sendiri dahulu.
- Utamakan dahulu diri sendiri, ibu bapa, anak isteri dan sanak saudara. Dalam tidak sedar, kita kadang-kadang lebih suka mengutamakan orang lain tetapi ahli keluarga kita terkontang-kanting, kelaparan dan kesusahan. Ingatlah, Rasulullah S.A.W telah berpesan bahawa sebaik-baik sedekah adalah kepada ahli keluarga.
- Tidak perlu meletak terlalu banyak syarat untuk mengecapi hidup yang bahagia. Apa yang anda miliki sekarang sudah memadai untuk dijadikan sebagai wadah kebahagiaan. Sifat merasa cukup apa yang ada dan menghargai apa yang dimiliki adalah kunci utama kebahagiaan.
- Tidak perlukan orang luar untuk “menyintai” dan sayangkan kita. Tidak perlu memaksa itu semua. Dalam tidak sedar, kita telah memiliki ibu bapa, keluarga, pasangan hidup dan anak-anak yang 100% menyayangi kita. Itu sudah memadai. Namun manusia kebanyakan melupai apa yang ada dan mengejar yang belum pasti.
- Perlu ada PRINSIP HIDUP untuk dijadikan sebagai asas penilaian.
Berbalik kepada tajuk entri ini, apakah jalan yang anda mahu bina? Cuba ingati semula impian anda beberapa tahun yang lepas atau pada masa kecil dahulu, adakah impian itu lebih anda cintai, serasi dan mahu, berbanding yang anda lakukan sekarang?
Atau soalan yang lebih spesifik, adakah yang anda lakukan sekarang adalah kehendak orang lain? Atau yang lebih menyedihkan, anda melakukannya tanpa sedar atas pengaruh orang lain.
No comments:
Post a Comment