"Irfan Jutawan Muda Internet"
Pasti tidak ramai tahu Irfan Khairi yang mencapai status jutawan internet pada usia 25 tahun pernah bekerja sambilan sebagai tukang cuci di pasar raya United Kingdom dengan kadar upah paling rendah.
Dengan gaji sebanyak £3.50 sejam, iaitu kira-kira RM14 mengikut tukaran wang sekitar 1997 hingga 1998, Irfan Khairi yang kini berusia 29 tahun melakukan kerja mencuci lantai dan tandas pasar raya dari jam 6 hingga 8 pagi bagi mencari wang sampingan.
Dia sanggup menempuhi kepayahan itu semata-mata untuk memastikan dia mampu membeli buku motivasi dan kisah orang yang berjaya serta menghadiri seminar kejayaan.
Sejam selepas bekerja, Irfan bergegas mengikuti kuliah dalam bidang multimedia di Universiti Staffordshire.
Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun pengajiannya di rantau orang.
Begitulah rutin harian Irfan sepanjang dua tahun pengajiannya di rantau orang.
"Masa itu, kalau hendak dikira, gaji yang diterima memang tidak cukup untuk menjalani kehidupan di bandar besar.Namun disebabkan mahu menghadiri seminar dan beli buku motivasi, saya sanggup bekerja sebagai tukang cuci," katanya.
Selepas menerima ijazah, Irfan tidak lagi meneruskan kerja sambilan itu, Kali ini bukan dia mencari kerja, tetapi kerja pula mencarinya.Dia berkerja sebagai perunding multimedia di sebuah syarikat, Netmedia Education, di Birmingham, dengan gaji £1,400.
Irfan ditawarkan berkerja oleh sebuah syarikat terbabit ketika hari terbuka universiti yang memberi peluang syarikat mencari pekerja di kalangan bakal graduan selepas mereka tertarik dengan projek universiti yang dijalankannya.
Waktu itu kehidupannya senang sedikit berbanding ketika menjadi penuntut, tetapi Irfan masih menggunakan sebahagian wangnya untuk membeli bahan belajar,buku dan mengikui kursus berkerja dari rumah.
"Bagi saya, pelaburan paling bagus ialah pada diri sendiri.Saya mula menjalankan perniagaan melalui internet sejak tahun pertama menjadi penuntut dan tukang cuci sambilan.Namun, pada waktu itu ilmu belum cukup, jadi selama setahun tiada keuntungan yang saya dapat.
"Sebab itu saya teruskan belajar melalui pembacaan dan kursus bagi memahirkan diri dalam internet.Masuk tahun kedua, baru perniagaan saya membawa pulangan," katanya yang menawarkan khidmat grafik seperti mereka bentuk kulit buku, poster dan kain rentang.
Agak pelik kerana tahun keempat menjalankan perniagaan melalui internet, Irfan tidak menyedari dia sebenarnya bergelar jutawan apabila berjaya mengumpul lebih RM 1 juta.
"Memang tidak sedar kerana wang hasil perniagaan internet saya hantar ke Malaysia. Baru saya terfikir, apa saya buat selama ini berjaya dan saya berazam menyampaikan ilmu yang saya peroleh ini kepada masyarakat Malaysia," katanya.
Irfan yang berkerja tetap dengan Netmedia Education selama tiga tahun menyediakan sistem pembelajaran secara 'online' untuk pelajar sekolah di sana.
"Kalau orang fikir dalam masa empat tahun saya mendapat RM1 juta itu senang, sebenarnya sangkaan itu salah.Dari jam 9 pagi hingga 5 petang saya bekerja makan gaji.Selepas pulang kerja, saya menguruskan perniagaan internet hingga jam 2 atau 3 pagi.
"Setiap hari dan sehingga sekarang, saya cuma tidur empat jam. Namun saya tidak kisah kerana saya rasa ia memadai.Lagipun disebabkan minat, saya tidak terasa kerja saya membebankan,"katanya.
Untuk berjaya dalam perniagaan internet, Irfan juga berkorban tidak keluar dengan kawan atau berhibur.
"Jika bosan, saya akan menonton wayang dan sesekali melancong.Namun bila melancong, saya masih membawa komputer riba dan cari hotel yang ada akses internet.Ini kerana perniagaan ini boleh dilakukan di mana-mana, sekalipun ketika melancong," katanya.
Selepas menyedari wang hasil perniagaan internetnya mencecah jutaan ringi, dia melangsaikan hutang komputer riba yang dibelinya secara ansuran selama tiga tahun, cuma dalam masa setahun. Ditanya adakah dia mengubah gaya hidupnya selepas menyedari dirinya bergelar jutawan, Irfan berkata, dia masih mengekalkan gaya hidup sederhana.
"Saya tidak beli barang mewah,tetapi hanya membeli kereta terpakai yang buruk dan berkarat.Kalau ikut nombor pendaftarannya dan keadaannya pun, memang tahu ia kereta lama.
"Di sana, orang yang bergelar jutawan pun masih menaiki bas dan pengangkutan awam yang lain.Mereka tidak kisah kebendaan.Sebenarnya ramai jutawan senyap di sana,," katanya.
Irfan berkata, sepanjang tinggal di Birmingham, dia menyewa flet yang tiada bilik setaraf rumah kos sederhana. "Banyak masa dan wang saya gunakan untuk laburkan bagi meningkatkan kemajuan diri.Saya juga mendalami bidang psikologi untuk meningkatkan keupayaan diri.
"Menurut kajian, kira-kira 98 peratus masyarakat tidak sanggup mengeluarkan duit untuk memajukan diri, manakala cuma dua peratus sanggup berbuat demikian dan mereka itulah yang akan berjaya.
"Jangan sayangkan duit untuk membeli buku yang boleh meningkatkan pengetahuan.Ini kerana proses untuk belajar tidak pernah berhenti, walau di mana pun tahap kita sekarang," katanya.
Irfan berkata, peluang perniagaan internet sungguh besar sebab banyak ruang kosong belum dipenuhi, terutama untuk masyarakat Melayu.
"Misalnya, kalau kita hendak belajar menyanyi secara 'online' atau di internet, memang banyak, tetapi tiada yang menyediakan lagu Melayu.Sama juga seperti belajar main gitar dan piano.
"Selain itu, masih kurang laman web memberitahu perkhidmatan mereka seperti ejen hartanah, penasihat atau pakar motivasi dan ejen insurans.Saya harap melalui buku yang saya karang dan seminar yang dianjurkan dapat menyedarkan masyarakat Malaysia mengenai peluang yang ada," katanya.
Penggunaan internet yang meluas di luar negara turut membolehkan mereka memesan barang runcit di pasar raya melalui 'online'. "Pembelian secara 'online' lebih mudah, terutama ketika musim sejuk.Kita Cuma perlu beritahu mereka senarai barangan yang kita hendak, misalnya ikan jenis apa dan saiz yang hendak dan barangan dipesan akan dihantar ke pintu rumah," katanya.
Irfan mendirikan rumah tangga dengan Shazrina Mohd Yusof yang dikenalinya ketika menghadiri perjumpaan di rumah seorang seniornya. "Ketika berpindah di Birmingham, saya tinggal bersendirian.Secara kebetulan, Shazrina yang juga menuntut di sana dalam bidang pengurusan perniagaan hotel, selepas itu bekerja di Hotel Hyatt Regency. "Selepas berkenalan dan mengenal hati budi masing-masing, kami mengambil keputusan mendirikan rumah tangga," katanya yang berkahwin pada usia 24 tahun.
Kini selepas pulang ke Malaysia, Irfan menjalankan perniagaan melalui internet dari rumahnya di Seremban dengan dibantu Shazrina yang menjalankan kerja pengurusan. Katanya, komputer riba adalah teman setianya kerana ketika melancong bersama keluarga pun, dia akan menjalankan urusan berkaitan kerjanya. "Kerjaya ini boleh dilakukan di mana-mana dan bila-bila masa," katanya.
Biarpun bergelar jutawan pada usia muda, Irfan tidak pernah mendabik dada. Malah, ketika berbicara, dia sentiasa merendah diri dan memberi contoh bahawa orang yang lemah tetap boleh berjaya asalkan ada minat dan kesungguhan untuk memajukan diri. Anak kedua daripada tiga beradik lelaki ini dilahirkan dalam keluarga yang sederhana.Bapanya pesara yang dulunya bekerja dalam bidang pendidikan, manakala ibunya suri rumah.
Disebabkan kerjaya bapanya, mereka adik beradik sentiasa ditekankan mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan seharian.
Disebabkan kerjaya bapanya, mereka adik beradik sentiasa ditekankan mengenai kepentingan pendidikan dalam kehidupan seharian.
"Kami tidak pernah kekurangan buku dan bahan belajar.Sikap dan cara ayah yang rajin membaca dan berkerja menjadi contoh serta ikutan kami,"katanya.
Irfan berkata, sejka kecil dia berminat dengan seni dan pernah melukis untuk majalah tempatan, kartun dan ilustrasi cerpen. Dia mendapat pendidikan awal di Sekolah La Salle, Ipoh dari darjah satu hingga tiga.Dia juga pernah bersekolah di Subang Jaya selama beberapa bulan di darjah empat sebelum mereka sekeluarga berpindah ke United Kingdom dan menetap tiga tahun berikutan bapanya menyambung pelajaran ke peringkat ijazah kedoktoran.
"Dua bulan sebelum menyambung pengajian ke Sekolah Menengah (lelaki) Bukit Bintang, Petaling Jaya dari tingkatan satu hingga lima.
"Saya memang tidak pandai kira-kira. Ketika peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM), saya tidak lulus subjek Prinsip Akaun," katanya tanpa berselindung.
Walaupun mengakui tidak pandai Matematik, Irfan meneruskan pengajian di Universiti Teknologi Mara(UiTM) dalam bidang perniagaan. Namun, sekali lagi dia berdepan kegagalan.Bukan saja subjek Matematik, dia turut gagal dalam Statistik dan Ekonomi. "Sebenarnya minat berniaga memang ada, tetapi bila diaplikasikan dalam pendidikan, saya tidak pandai.Bila ke United Kingdom, saya mengalih perhatian kepada bidang multimedia kerana melihat potensinya serta minat mendalam dalam bidang yang ada kaitan dengan seni.
"Satu perkara yang perlu ada pada diri kita ialah jangan mudah putus asa.Apabila gagal.Kita tidak sepatutnya mengulangi kesilapan sama dan terus dalam kegagalan," katanya.
Dia sering berpegang kepada pesanan Rasulullah SAW iaitu "Sebodoh-bodoh manusia ialah yang memasukkan tangan dalam lubang sama dan dipatuk oleh ular sama."
"Jangan ambil jalan mudah untuk mencapai kejayaan sebab tiada jalan pintas untuk berjaya.Disebabkan ingin cepat kayalah ramai ditipu dengan skim cepat kaya," katanya.
p/s : Jangan lupa baca kisah seterusnya....
No comments:
Post a Comment