Sunday, September 25, 2011

ETIKA PERNIAGAAN DALAM ISLAM

Bismillahirrahmanirrahim…


Setiap pekerjaan menjadi sebahagian daripada amal ibadat jika dilakukan mengikut syaratnya. Islam memandang mulia semua jenis pekerjaan sama ada bekerja sendiri atau makan gaji dan memandang hina sesiapa yang malas kerja serta mengharapkan belas ihsan orang lain. Galakan bekerja dituju kepada golongan lelaki yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada keluarganya.


ETIKA PERNIAGAAN ISLAM 'PRINSIP TIDAK MEMUDARATKAN' ATAU 'NO INJURY PRINCIPLE'

Dalam menggariskan etika perniagaan, Islam menjadikan 'Prinsip Tidak Memudaratkan' atau 'No Injury Principle' sebagai asas penting. Prinsip ini merujuk kepada peraturan yang meggerakkan tindakan dan gelagat pimpinan serta pihak bawahan dalam hubungan sesama mereka dan yang memberi kesan di luar organisasi. Hubungan yang berasaskan prinsip 'tidak memudaratkan' ini menghalang atau mengurangkan sifat atau tindakan negatif terhadap orang lain, dengki mendengki, mementingkan diri sendiri atau tindakan yang boleh menyebabkan berlakunya ketidakadilan terhadap seseorang. Ia juga merujuk kepada kesan produk atau perkhidmatan terhadap pengguna dan alam sekitar. 

Prinsip ini bersifat universal dan boleh dipraktikkan dalam semua aspek dan dimensi kehidupan manusia. Ia bukan sahaja melarang tindakan atau sikap yang memudaratkan orang lain tetapi juga memudaratkan diri sendiri. Apabila seseorang atau satu organisasi itu berusaha untuk tidak memudaratkan diri sendiri atau orang lain, kehidupan dan kegiatannya menjadi seimbang, keberkatan Illahi dan kecemerlangan dalam pencapaian matlamat perniagaan dapat di perolehi.

Dalam konteks pengeluaran dan perkhidmatan pengamatan prinsip 'tidak memudaratkan' ini akan memastikan bahawa sesebuah oraganisasi perniagaan atau syarikat itu tidak terlibat dalam perkara-perkara yang memudaratkan perkembangan mental, emosi, spiritual dan fizikal masyarakat dan individu. Aspek pemeliharaan alam sekitar juga akan diberi penekanan yang sewajarnya. Pengguna akan dapat kualiti produk dan perkhidmatan yang dikehendaki.

Rasulullah s.a.w bersabda:

"Tidak mudarat dan tidak memudaratkan"

Ini bersesuaian dengan tujuan Syariat Islam diturunkan untuk memelihara lima perkara asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Segala perkara yang memelihara mana-mana perkara asas ini digalakkan (masa'lih) dan segala yang boleh memberi kesan negatif kepada salah satu daripada kelima-lima ini dilarang (mafa'sid).

Oleh itu Islam menekankan aspek kualiti dalam bentuknya yang menyeluruh. Prinsip 'tidak memudaratkan' akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan.

Dalam aspek pengurusan organisasi korporat prinsip ini sekiranya diserapkan di semua peringkat organisasi akan menjadi faktor motivasi yang mendorong anggota-anggotanya untuk terlibat secara bersungguh-sungguh dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti. 

Peter Drucker dalam buku beliau 'Managemant: Tasks, Responsibilities, Practices' telah menekankan bahawa profesionalisme dalam perniagaan menuntut supaya dipraktikkan 'Principle of nonmaleficence' atau 'do no harm'. Atas prinsip ini beliau membuat kesimpulan bahawa terdapat ramai eksekutif yang tidak bertindak secara profesional dalam kegiatan perniagaan mereka.

Pembentukan budaya korporat yang sihat akan terjejas sekiranya prinsip 'tidak memudaratkan' atau 'do no harm' tidak diamalkan.

Dalam menjalankan kegiatan perniagaan seseorang usahawan muslim itu seharusnya memastikan bahawa peraturan-peraturan berikut dipatuhi sesuai dengan prinsip tidak memudaratkan:

1. Niat Yang Betul
Seseorang usahawan muslim harus memastikan bahawa niatnya hanyalah untuk mencapai tujuan yang telah disebut  di atas dan agar dia mendapat keredhaan Allah s.w.t. dalam segala aspek kehidupannya.

Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah yang bermaksud:
`sesungguhnya amal itu bermula dengan niat'
Al-Adl Wal Ihsan
Salah satu daripada etika penting dalam perniagaan ialah melaksanakan `Al-Adl Wal Ihsan' atau keadilan dan ihsan.

Sebagaimana yang difirmankan oleh Allah dalam Al-Qur'an:
`sesungguhnya Allah menyuruh melakukan keadilan dan berbuat kebajikan serta memberi karib kerabat, dan melarang berbuat yang keji dan yang mungkar dan kezaliman. Dia mengajarkan kepadamu agar kamu mendapat peringatan'(surah an-nahl, ayat 90).
Ada beberapa etika penting yang dapat kita perolehi daripada ayat diatas:
1. Kita disuruh melakukan keadilan
2. Kita disuruh melakukan kebajikan
3. Kita disuruh memberi sadaqah
4. Kita dilarang membuat perkara yang keji dan mungkar
5. Kita dilarang membuat kezaliman
Oleh itu dalam kegiatan perniagaan kita harus melaksanakan keadilan, kebajikan, memberi sadaqah, serta tidak melakukan yang keji, mungkar atau menzalimi diri kita atau orang lain.

Keadilan Dalam Perniagaan
Keadilan bererti meletakkan sesuatu ditempatnya yang betul. Dalam konteks ini implikasinya ialah membuat tindakan atau keputusan sebagaimana yang dikehendaki oleh syari'at Islam. 

Oleh itu keadilan dalam konteks perniagaan memberi implikasi berikut:
1. Amanah Dan Benar Dalam Urusan Perniagaan
Tindakan dan keputusan yang berdasarkan sifat amanah dan kebenaran adalah perlu bagi memastikan urusan perniagaan itu adil dan setiap orang samada pembeli atau pengusaha mendapat haknya. Penipuan dan perpecahan akan dapat dielakkan sekiranya semua pihak bersifat amanah dan benar.

Dengan sifat ini usahawan akan mendapat untung yang sewajarnya dan pembeli akan mendapat barangan atau perkhidmatan yang sepadan dengan harga yang dibayar.

Rasulullah telah bersabda:
`penipuan membawa kepada neraka'
Oleh itu sebarang bentuk penipuan adalah haram. Jangan suka menipu apabila berniaga. Penipuan bukan sahaja dalam bentuk barangan, wang ringgit malah ada pelbagai bentuk penipuan yang berlaku sekarang ini hanya semata-mata untuk menarik pelanggan datang ke kedainya dan membeli barangannya.

Pada suatu hari Rasulullah telah berjumpa dengan seorang penjual gandum. Baginda telah memasukkan tangannya ke dalam dan mendapati gandum di bawah basah. Baginda telah menegur penjual itu kerana tidak meletakkan gandum yang basah itu  di atas supaya pembeli dapat melihatnya.

Baginda kemudiannya telah bersabda:
`barangsiapa yang menipu tidak termasuk dalam golongannya'
Baginda juga telah bersabda:
`Pedagang yang benar akan dibangkitkan pada hari akhirat beserta orang-orang yang benar dan para syuhada'
(Surah Al-Mutaffifin)
Amatlah jelas sekali pandangan Islam terhadap etika perniagaan apabila kita mengkaji ayat-ayat alquran yang di turunkan sebagai pertunjuk kepada manusia. Selain daripada banyak ayat-ayat dalam Al Quran yang menggariskan prinsip-prinsip dan etika perniagaan terdapat satu surah dalam  Al Quran yang di beri nama `AlMutaffifin' yang memerlukan satu penelitian yang mendalam. 

Almutaffifin Bermakna Orang Yang Curang. 
`Kecelakaan besarlah bagi orang-orang yang curang(curang dalam menakar dan menimbang')
Iaitu orang-orang yang apabila menerima takaran dari orang lain mereka minta di penuhi
Dan apabila mereka menakar atau menimbang untuk orang lain mereka mengurangi
Tidakkah orang-orang itu yakin bahawa sesungguhnya mereka akan di bangkitkan
Pada suatu hari yang besar
Sekali-kali jangan curang, kerana sesungguhnya kitab orang yang durhaka tersimpan dalam sijjin
Dalam ayat 1-7 surah al mutaffifin, terdapat beberapa pengajaran:
  1. Allah menghina orang yang menipu atau menzalimi orang lain dalam perniagaan
  2. Definasi orang yang menipu dalam surah ini ialah orang yang apabila melibatkan haknya dia meminta semuanya mengikut tempoh yang di tetapkan tanpa tangguh, tetapi apabila ia berkaitan dengan hak orang lain dia memberi kurang daripada sepatutnya
  3. Allah mengaitkan perniagaan ini dengan akauntabiliti dan tanggungjawab kepada Allah swt di hari akhirat nanti
  4. Orang yang yakin pada hari akhirat dan pembalasan tidak AKAN MENIPU dan berlaku zalim dalam perniagaan
  5. Orang yang menipu dan zalim dalam perniagaan akan menerima siksaan yang berat daripada Allah swt di akhirat nanti.

1 comment: